KUALA LUMPUR 1 Mei - Barisan Nasional (BN) menafikan terbabit dalam memaparkan, mencetak, menerbit dan memasang kain rentang 'melampau' dan tidak bertanggungjawab sehingga mencetuskan kebencian terhadap BN.
Setiausaha Agungnya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, paparan kain rentang tersebut merupakan satu bentuk fitnah kepada BN serta mengeruhkan hubungan BN dengan masayarakat Kristian Malaysia.
"Barisan Nasional melahirkan rasa kesal dan kecewa terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang mendokong pengamalan politik kotor sepanjang tempoh berkempen.
"Tindakan ini adalah bertujuan untuk memecahbelahkan perpaduan dan mengganggu-gugat keharmonian antara agama yang selama ini terpelihara dengan baik oleh Barisan Nasional," katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
Katanya lagi, BN mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang tidak bertanggungjawab dan mendesak agar SPR mengambil tindakan dengan segera.
"Barisan nasional juga memohon kerjasama baik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mempunyai bidang kuasa untuk memantau bahan-bahan kempen bersifat melampau dan berlandaskan fitnah ini agar diturunkan secepat mungkin untuk mengelakkan kejadian lebih buruk akan berlaku," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berharap agar masyarakat awam tidak terlibat dengan amalan politik kotor demi menjaga keharmonian sepanjang proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
"Barisan Nasional mengalu-alukan mana-mana pihak untuk tampil ke hadapan untuk berkongsi sebarang maklumat terhadap penyebaran 'billboard' tersebut.
"Usaha anda mampu menyumbang ke arah Malaysia yang lebih baik," ujarnya lagi.
OnePapar Feed
No comments:
Post a Comment