GST memang menipu rakyat - Papar Sabah 2U Malaysia : Bersatu ke arah kemajuan dangsanak
Latest News :
Home » , , » GST memang menipu rakyat

GST memang menipu rakyat

Written By 1papar on Tuesday, September 8, 2015 | 5:54 PM

Oleh RAYUSA

ADAKAH kerajaan yang baik itu memberi atau meminta daripada rakyat yang diperintahnya? Sudah tentulah sewajarnya ia memberi, bukan meminta, apatah lagi jika kerap dan banyak. Justeru, wajarkah kerajaan yang banyak meminta daripada rakyatnya dijatuhkan?

Siapa yang berani atau sanggup mendakwa/mengatakan kerajaan Umno-BN sekarang adalah kerajaan yang baik? Saya fikir, sesiapa yang mengatakannya baik, sudah tentu dia akan dianggap tidak siuman!

Dengan segala kerosakan yang telah berlaku – banyak rakyat sedia maklum – kerajaan Umno-BN jelas tidak layak lagi mentadbir negara ini. Namun demikian, bagaimana mahu menumbangkannya sekarang kerana Pilihan Raya Umum ke-14 masih jauh? Menerusi peti undi, kelihatan seperti tiada harapan. Kalau menerusi revolusi pula, akan dianggap melanggar demokrasi dan melakukan keganasan – keganasan bukan budaya kita (baca: konon).
Walau bagaimanapun, apa pilihan yang rakyat ada? Sama ada lambat atau cepat, sekarang atau kemudian, kerajaan Umno- BN perlu ditumbangkan. Di bawah pimpinan Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak merangkap perdana menteri, regim tua itu terus berbohong di samping menyamun wang rakyat.

Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang mula dilaksanakan pada 1 April lalu adalah antara contoh ketara pembohongan kerajaan Umno- BN dan Najib. Selain penipuan mengatakan kejatuhan Ringgit Malaysia hanya bersifat sementara, padahal ia berterusan merudum hingga kini paling rendah dalam sejarah, rakyat dikatakan akan beruntung kerana hanya membayar cukai sekali sahaja menerusi GST, dan tidak membayar lebih.

Memang aneh. Kalau rakyat dikatakan lebih berjimat dengan GST, mengapa hasil kutipan cukai itu digunakan untuk membantu kewangan Malaysia ketika berhadapan dengan kejatuhan harga minyak?

Najib sendiri mengesahkan perkara itu. Kata beliau, negara bernasib baik kerana ada GST yang telah mengelakkan tekanan kewangan. Jelas beliau, kewangan negara tertekan kerana apabila harga minyak merudum, dividen Petronas berkurangan, dan royalti juga begitu. Katanya, dari mana lagi kerajaan dapat menampung perbelanjaan besar negara?

Najib berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian berkelompok persidangan perwakilan Umno Bahagian Padang Besar, Kangar dan Arau di Dewan Wawasan 2020, di Kangar, baru-baru ini.

Itu bererti hasil daripada GST adalah tinggi. Tinggi itu bermakna rakyat bukan kurang membayar, tetapi lebih - tidak seperti yang difikirkan atau ditegaskan selalu. Bukankah itu satu pembohongan? Terpaksa membayar lebih walau satu sen pun, tetap membayar lebih – bukannya kurang satu sen.

Kata Najib, pelaksanaan GST bukan untuk menyusahkan rakyat dan beliau berpegang pada prinsip “daripada rakyat, kita akan kembalikan kepada rakyat.”

Jelas Najib, beliau telah berjanji kepada rakyat bahawa (hasil) tambahan daripada GST akan dipaparkan dalam Bajet 2016 – iaitu ke mana ia (telah dan akan) dibelanjakan.

Kata Najib lagi, masalah berkaitan dengan GST timbul apabila ada peniaga yang tidak jujur dan memanipulasi keadaan. Jelas beliau, ia seperti yang Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Shahidan Kassim nyatakan bahawa peniaga menambah GST, tetapi tidak memansuhkan SST (cukai jualan dan perkhidmatan).

Soalnya, kenapa GST dilaksanakan juga padahal telah ditentang hebat oleh majoriti rakyat? Mengapa sibuk mahu memansuhkan SST jika sebelum ini ia tidak membebankan dan mencetuskan rungutan rakyat?

Apakah benar para peniaga tidak memansuhkan SST?

Jelas Najib, GST kini dilaksanakan di 160 negara. Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai memilih peniaga yang jujur dan tidak mengambil kesempatan. Katanya, pilihlah tempat dan peniaga yang menjual barang dengan harga yang berpatutan.

Banyak negara mengamalkan GST tidak bermakna cukai itu baik. Sekarang telah jelas bahawa ia hanya menjadi punca pendapatan kepada kerajaan.

Dalam kata lain, kerajaan mangambil wang daripada rakyat dengan banyak “secara terhormat.”

Jadi, jelas juga bahawa kerajaan Umno-BN tidak akan melaksanakan sesuatu cukai jika ia memberi laba kepada rakyat.

Najib telah pun mengesahkan hakikat tersebut!

Mengharapkan para peniaga bersikap jujur adalah satu utopia pada zaman sekarang. Dengan pelbagai tekanan, bukan setakat GST sendiri, kenaikan harga minyak menjadi punca utama harga barang dan perkhidmatan dinaikkan.

Mustahil harga barang dan/atau perkhidmatan tidak dinaikkan jika modal terpaksa bertambah. Peniaga sejujur mana pun akan menaikkan harga walaupun mungkin dengan berat hati, inikan pula yang memang suka “kaya cepat.” Lagipun, sukar untuk mengetahui peniaga mana yang jujur atau sebaliknya.

Sebelum mengharapkan peniaga jujur, Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, serta para pengikut dan penyokong mereka perlu jujur terlebih dahulu. Namun demikian, mengharapkan kejujuran daripada pemimpin Umno-BN sama “seperti pungguk merindukan bulan” atau “jauh panggang dari api.”



OnePapar Feed
Share this article :

No comments:

Post a Comment

Around The Blog

More on this category »
 
Copyright © 2012-2017. Papar Sabah 2U Malaysia : Bersatu ke arah kemajuan dangsanak - All Rights Reserved